Islam menegaskan bahawa perubatan merupakan bidang wajib diceburi oleh umat Islam. Memandangkan keperluan dan permintaannya yang tinggi khususnya di Malaysia, pengamal perubatan/doktor wajib melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan ikhlas.Timbul persoalan sejauh manakah doktor terlibat dalam bidang ini bertanggungan terhadap kemudaratan yang berlaku akibat rawatan yang diberikan?
- Asas Tanggungan
Hadis Rasulullah - Dilaporkan Abu Dawud, An-Nasaie dan Ibn Majah , mafhumnya, "Sesiapa yang mengubati orang lain dan dia tidak dikenali sebagai orang yang mengetahui ilmu perubatan, maka dia bertanggungan atas kemudaratan yang berlaku."
Berdasarkan hadis tadi, Undang-undang Tort Islam menetapkan kewujudan tanggungan Tort dalam kes perubatan apabila seorang pengamal perubatan itu menyebabkan kemudaratan kepada pesakitnya akibat dari kesilapan atau kecuaiannya lebih-lebih lagi jika pengamal perubatan itu memberi rawatan bagi sesuatu jenis penyakit yang bukan dalam bidang kepakarannya.
Selain itu tanggungan ke atas pengamal perubatan boleh wujud disebabkan adanya elemen pencerobohan, jenayah, penipuan atau apa sahaja tindakan yang bertentangan dengan amalan biasa rawatan kedoktoran oleh doktor yang akhirnya mengakibatkan kemudaratan kepada pesakit. Apabila berlaku sesuatu kemudaratan, dia bertanggungan membayar diyat tetapi hukuman Qisas keatasnya gugur atas sebab dia telah diberi keizinan oleh pesakit tadi. Kesalahan tort bagi pengamal perubatan dibebankan ke atas a'qilahnya mengikut pandangan majoriti fuqaha'
Jika seorang doktor pakar yang terlatih melakukan pembedahan ke atas pesakitnya tanpa berlaku sebarang kesilapan dan kemudian pesakit itu mengalami komplikasi, doktor terlibat tidak bertanggungan.
Seorang doktor itu pakar dan terlatih, dia telah melaksanakan tugasnya mengikut peraturan dan etika dikehendaki serta mendapat keizinan. Tetapi jika rawatan yang dilakukannya mencerobohi ( ta'addat) bahagian tubuh pesakit yang tidak sepatut dirawat dan tersilap mencederakannya, dia bertanggungan.
Seorang doktor pakar telah berusaha memberi perkhidmatan yang baik tetapi masih terjadi kesalahan diagnosis atau kesalahan memberi preskripsi ubat kepada pesakit. Akibatnya, pesakit itu meninggal dunia, maka doktor tersebut bertanggungan membayar diyat samada oleh baitulmal atau 'aqilahnya. Ini mengikut Imam Ahmad bin Hambal.
Secara rumusnya, asas tanggungan ke atas pengamal perubatan ialah ta'addi atau kesilapan atau pencerobohan atau kecuaian bukanlah berasaskan kemudaratan dan kecederaan yang berlaku pada pesakit. Jika pengamal perubatan itu melaksanakan tugasnya dengan niat baik dan tidak melanggar amalan biasa dalam perubatan atau tidak wujud apa-apa unsur kecuaian pada pihaknya, dia tidak bertanggungan terhadap sebarang kecederaan yang terjadi dengan alasan kecederaan itu terjadi adalah luar kawalan kewajipan berhati-hati, Ini merujuk kepada kaedah " "sesuatu yang tidak mungkin diambil tindakan berhati-hati terhadapnya, tidak wujud tanggungan padanya."
Rujukan : Undang-Undang Tort Islam. Abdul Basir Mohamad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan