google8dfb9fd65978adab.html ~SILLHOUTTE~: 2 Hakim Wanita Syarie Pertama Malaysia 2 Hakim Wanita Syarie Pertama Malaysia

04 Julai 2010

2 Hakim Wanita Syarie Pertama Malaysia



KUANTAN: Dua hakim syarie wanita pertama negara, Suraya Ramli dan Rafidah Abdul Razak, menyifatkan pelantikan mereka sebagai satu pengiktirafan serta mengangkat martabat wanita dalam kerjaya yang banyak dimonopoli lelaki.

Pengumuman pelantikan mereka dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang berkata buat julung kalinya kerajaan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin melantik mereka Mei lalu, dengan masing-masing ditempatkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sambil memanjatkan rasa syukur, Suraya dan Rafidah turut menganggap pelantikan itu sebagai satu amanah selain membuktikan peranan dan sumbangan wanita sememangnya dihargai.

“Saya anggap ini tugas besar dan akan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan adil. Malah pengiktirafan ini maka lebih ramai lagi wanita akan mampu memegang jawatan yang selalunya dikuasai lelaki,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Pegawai Syariah Kebangsaan Ke-12, di Bukit Gambang Resort City, di sini, semalam. Suraya, 31, anak kelahiran Sabah, bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Hakim Rayuan dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan JKSM. Sementara itu, Rafidah, 39, yang berasal dari Pulau Pinang, menyuarakan penghargaannya kepada JKSM. “Saya amat terharu dan berterima kasih kepada JKSM. Pelantikan ini juga bukti untuk mengubah persepsi masyarakat yang menunjukkan wanita juga mampu menggalas tugas dipikul golongan lelaki,” kata Pegawai Penyelidik Ketua Hakim Syarie dan Penolong Pengarah Latihan JKSM itu. Terdahulu, dalam ucapan yang dibacakan Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zain, Najib berkata, pelantikan dua wanita itu turut menolak persepsi segelintir masyarakat yang sengaja menuduh Mahkamah Syariah mengamalkan diskriminasi gender sehingga menidakkan hak wanita dan kanak-kanak. “Pada hari ini ramai wanita seolah merasakan diri mereka teraniaya dan tidak mendapat keadilan yang sewajarnya disebabkan kelewatan penyelesaian kes. Justeru, perlantikan dua Hakim Syarie ini pada pertengahan Mei lalu dapat merungkai permasalahan berkenaan,” katanya. Najib berkata, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM15 juta kepada Bahagian Sokongan Keluarga JKSM bagi membantu pihak yang teraniaya akibat kegagalan suami melaksanakan perintah nafkah oleh Mahkamah Syariah yang bertujuan bagi usaha transformasi institusi perundangan syariah di negara ini. “Saya berharap setiap pegawai syariah sentiasa proaktif berijtihad dalam pentafsiran hukum syariah yang fleksibel dalam mengembalikan keyakinan umum ke atas keunggulan undang-undang Islam tanpa batasan bangsa atau jantina,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan turut bersetuju melanjutkan had umur Ketua Hakim dari umur 58 tahun kepada 66 tahun sebagai menyempurnakan tuntutan transformasi selain sedia membantu bagi memberi peluang pegawai syariah melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (Phd).

klik

petikan ulasan dari http://www.usulifaqih.com/ilmu/hakim-syarie-wanita/

Isu perlantikan wanita sebagai qadi atau hakim adalah isu klasik fiqh. Ia telah dibincangkan sejak sekian lama dalam kitab-kitab fiqh turath. Secara ringkasnya mazhab Syafie tidak membenarkan wanita dilantik menjadi qadi atau hakim. Manakala mazhab Hanafi membenarkan perlantikan wanita ke jawatan itu. Kedua-dua mazhab tersebut mempunyai hujah dan dalil masing-masing.

Dengan perlantikan dua orang wanita sebagai Hakim Syarie, menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia memilih pandangan mazhab Hanafi. Ini berdasarkan ijtihad Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mengikut prinsip-prinsip tertentu di sebalik kewajaran melantik wanita ke jawatan tersebut.

Apa yang UF nak ulas di sini ialah, tidak kisah kita memilih pandangan mazhab Syafie atau mazhab Hanafi. Ini kerana ia adalah perkara ijtihadi, apatah lagi kedua-duanya mempunyai dalil dalam isu ini. Cuma jangan kita tersilap objektif dalam perlantikan wanita ke jawatan Hakim Syarie. Objektif utama perlantikan seseorang hakim ialah untuk menjulang panji keadilan berdasarkan hukum Allah S.W.T.

Jika sesetengah pihak berpendapat bahawa perlantikan dua hakim wanita itu akan memberi keadilan kepada wanita, maka ia ternyata salah. Perlantikan hakim wanita bukan untuk memberi keadilan kepada wanita tetapi memberi kaedilan kepada mereka yang berhak sama ada wanita mahupun lelaki.

Pandangan bahawa Hakim Syarie lelaki sebelum ini berat sebelah kepada kaum lelaki merupakan pandangan prejudis. Hakim mempunyai tugas yang berat untuk memutuskan sebarang keputusan. Jika ada hakim yang hanya memandang gender dalam penghakimannya maka ia hanya menempah api neraka.

Ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W yang mafhumnya, dua golongan hakim akan masuk neraka iaitu hakim yang berhukum tanpa ilmu dan hakim yang tahu kebenaran tetapi tidak berhukum dengannya. Hanya satu golongan hakim yang dapat masuk syurga iaitu hakim yang tahu kebenaran dan berhukum dengannya.

Kita berdoa kepada Allah agar Hakim-Hakim Syarie kita baik yang lelaki mahupun dua hakim wanita (Puan Suraya dan Puan Rafidah) dipelihara oleh Allah dalam penghakiman mereka. Amin!!!




Rasa hati cik Aqeeda :

Alhamdulillah...wanita sudah pon boleh diangkat utk menjadi Hakim Syarie..mudah-mudahan ia membantu mempercepatkan lagi penyelesaian kes2 yang semakin byk dan yg byk tertunggak..insyaallah..walaucamana pon x semua jenis kes hakim wanita ni handle..mungkin seperti kes-kes berkaitan faraid..kes pengesahan daftar nikah..kes pengesahan lafaz cerai...mereka akan handle..memang banyak khilaf tentang perlantikan wanita sebagai Hakim..saya kena byk baca lg pasal hal ni..kalau diikutkan sekarang hanya Kuala Lumpur dan Kelantan sahaja meluluskan fatwa bahawa wanita boleh jadi Hakim Wanita syarie..negeri2 lain x luluskan lagi fatwa ini..apapon ni..tetapi apa yg penting adalah martabat Syariah dapat ditegakkan..

hehe...rasa semangat nak belajar sungguh2..nak martabat kan Syariah dan Islam ..InsyaAllah...terkenang kata2 nasihat YA Tuan Abu Bakar, .."yang penting niat nak tegakkan Syariah..insyaAllah yang lain2 pasti mudah.."

Tiada ulasan: