03 Oktober 2009
Kumpulan Dalil-Dalil
-Kemaafan Hanya Diberi Bagi Kesalahan Melibatkan Hak Manusia
Daripada Safwan bin Umaiyah meriwayatkan katanya:- كنت نائما في المسجد على خميصة لي ثمن ثلاثين درهما فجاء رجل فاختلسها مني فأخذ الرجل فأتي به النبي صلى الله عليه وسلم فأمر به أن تقطع يده فأتيته فقلت له أتقطعه من أجل ثلاثين درهما أنا أبيعه وأنسئه ثمنها فقال فهلا قبل أن تأتيني بهMakna: Aku sedang tidur dalam masjid di atas sehelai khamisah (kain hitam empat segi) kepunyaanku yang berharga tiga puluh dirham. Kemudian, seorang lelaki datang lalu ia mencuri dariku. Lelaki itu ditangkap dan dibawa kepada Nabi s.a.w. lantas baginda memerintahkan supaya tangannya dipotong. Saya datang menemui Nabi s.a.w. dan berkata: "Adakah kamu hendak memotong tangannya kerana tiga puluh dirham? Saya akan menjualnya kepadanya dan saya tangguhkan pembayaran untuknya." Rasulullah s.a.w. bersabda: Mengapakah engkau tidak maafkan sebelum engkau membawa perkaranya kepadaku?"(Abu Daud, Sunan Abi Daud, No. Hadith: 4394)
Intisari:
1. Kemaafan hanya diberi dalam kes-kes hudud yang melibatkan hak manusia seperti mencuri.
2. Apabila kes telah dibawa ke mahkamah dan dibicarakan, maka tidak boleh diberi kemaafan.
- Hukuman Mencuri
Daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْطَعُ السَّارِقَ فِي رُبْعِ دِينَارٍ فَصَاعِدًا Maksud: Rasulullah s.a.w memotong tangan seseorang yang mencuri harta sebanyak satu perempat dinar ke atas. (Sahih Muslim, No. Hadith: 972)
Intisari:
1. Hukuman hudud hanya dikenakan kepada pesalah yang melakukan jenayah melebihi 1/4 dinar iaitu kadar pada zaman Nabi Muhammad. Jika nilai barang curian lebih rendah daripada itu, maka tidak dikenakan hukuman hudud.
2. Para ulama daripada 4 mazhab mempunyai pelbagai pandangan tentang nilai barang curian sehingga boleh dikenakan hudud. Terdapat beberapa riwayat yang menjadi sandaran para ulama.
3. Aplikasi hadith ini perlu diteliti dalam konteks semasa agar satu nilai tertentu dapat ditetapkan oleh para ulama mengikut lokaliti kes
-Larangan Qazhaf ( Tuduhan Zina)
Daripada Abu Hurairah r.a katanya: الَ أَبُو الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ قَذَفَ مَمْلُوكَهُ بِالزِّنَا يُقَامُ عَلَيْهِ الْحَدُّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَّا أَنْ يَكُونَ كَمَا قَالَ Maksud: Abu Al-Qasim s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang menuduh hamba miliknya melakukan zina maka pada Hari Kiamat kelak dia akan dikenakan hukuman kecuali tuduhannya itu adalah benar.(Muslim, Sahih Muslim, Nombor Hadis: 3138)
Intisari:
1. Menuduh seseorang berzina adalah satu kesalahan dalam hudud yang dipanggil qazaf.
2. Islam menjaga kemuliaan maruah seseorang dan menuduh seseorang melakukan zina tanpa bukti adalah satu kesalahan.
3. Hukuman hudud hanya dikenakan kepada penuduh yang menuduh seseorang muslim lelaki atau perempuan yang berstatus merdeka dan bukan hamba.
4. Imam Nawawi menjelaskan hadith di atas: Tiada hukuman hudud dikenakan kepada penuduh yang melakukan tuduhan terhadap seorang yang berstatus hamba di dunia. Tetapi, penuduh akan dikenakan hukuman takzir... Bagaimanapun, pada hari akhirat hukuman had baginya akan disempurnakan (akan dilaksanakan), kerana keserataan manusia yang merdeka dan hamba pada hari akhirat.
-Hukum Hudud Wajib Samarata
Daripada Aisyah:أن قريشا أهمهم شأن المرأة المخزومية التي سرقت فقالوا من يكلم فيها رسول الله صلى الله عليه وسلم فقالوا ومن يجترئ عليه إلا أسامة حب رسول الله صلى الله عليه وسلم فكلمه أسامة فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم أتشفع في حد من حدود الله ثم قام فاختطب فقال أيها الناس إنما أهلك الذين قبلكم أنهم كانوا إذا سرق فيهم الشريف تركوه وإذا سرق فيهم الضعيف أقاموا عليه الحد وايم الله لو أن فاطمة بنت محمد سرقت لقطعت يدها Maksud: Sesungguhnya kaum Quraisy merasa bingung dengan masalah seorang wanita dari kabilah Makhzumiah yang telah mencuri. Mereka berkata: Siapakah yang akan memberitahu masalah ini kepada Rasulullah s.a.w? Dengan serentak mereka menjawab: Kami rasa hanya Usamah sahaja yang berani memberitahunya, kerana dia adalah kekasih Rasulullah s.a.w. Maka Usamah pun pergilah untuk memberitahu kepada Rasulullah s.a.w, lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Jadi maksud kamu semua ialah untuk memohon syafaat terhadap salah satu dari hukum Allah? Kemudian Baginda berdiri dan berkhutbah: Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat-umat sebelum daripada kamu ialah, apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya sahaja. Tetapi apabila mereka dapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya. (Sahih Muslim, No. Hadith: 3196)
Intisari:
1. Hukuman hudud wajib dilaksanakan tanpa mengira status sosial dan ekonomi seseorang.
2. Masalah dan kebinasaan bangsa Israel terjadi apabila mereka tidak menjalankan sistem hukuman yang disyariatkan Allah dan tidak adil dalam menghukum.
-Pengharaman Arak
عن ابن عباس قال: قدم وفد عبد القيس على رسول الله صلى الله عليه وسلم فقالوا يا رسول الله إنا هذا الحي من ربيعة وقد حالت بيننا وبينك
كفار مضر فلا نخلص إليك إلا في شهر الحرام فمرنا بأمر نعمل به وندعو إليه من وراءنا قال آمركم بأربع وأنهاكم عن أربع الإيمان بالله ثم فسرها لهم فقال شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله وإقام الصلاة وإيتاء الزكاة وأن تؤدوا خمس ما غنمتم وأنهاكم عن الدباء والحنتم والنقير والمقير Daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Rombongan Abdul Qais telah datang berjumpa
Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Kami berasal dari perkampungan Rabi'ah. Hubungan kami dan engkau terhalang oleh orang-orang kafir Bani Mudhar. Oleh itu kami tidak dapat datang menemuimu kecuali pada bulan Haram iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Oleh yang demikian, perintahkanlah kami dengan sesuatu yang mampu kami lakukan dan kami sampaikan kepada orang lain. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Aku memerintahkan kamu empat perkara dan melarang kamu empat perkara. Iaitu beriman kepada Allah. Kemudian baginda menjelaskannya kepada mereka. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan mengeluarkan satu perlima dari harta rampasan perang. Manakala aku melarang kamu agar tidak membuat arak di dalam bekas yang diperbuat dari labu, bekas yang diperbuat dari campuran tanah, rambut dan darah, bekas yang diperbuat secara melubangkan batang pokok atau bekas yang dilumurkan dengan tar.(Sahih Muslim, No. Hadith: 23)
Intisari:
1. Selain memenuhi tuntutan rukun Islam, umat Islam perlu menjauhi segala jenis larangan yang dinyatakan dalam al-Quran dan al-Sunnah.
2. Larangan dan pengharaman arak dijelaskan dalam al-Sunnah.
3. Arak daripada segala jenis bahan adalah haram sekiranya ia memabukkan.
-Kesalahan Takzir Boleh Dihapuskan oleh Solat
Daripada Anas r.a katanya: جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال يا رسول الله أصبت حدا فأقمه علي قال وحضرت الصلاة فصلى مع رسول الله صلى الله عليه وسلم فلما قضى الصلاة قال يا رسول الله إني أصبت حدا فأقم في كتاب الله قال هل حضرت الصلاة معنا قال نعم قال قد غفر لك
Seorang lelaki berjumpa Nabi s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah melakukan sesuatu yang boleh dikenakan hukum hudud, oleh itu hukumlah aku. Anas berkata: Sebaik sahaja tiba waktu sembahyang lelaki tersebut turut mendirikan sembahyang bersama-sama Rasulullah s.a.w. Setelah selesai sembahyang lelaki tadi berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah melakukan sesuatu yang boleh dikenakan hukum hudud. Oleh itu hukumlah aku sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran. Baginda bersabda: Adakah kamu mendirikan sembahyang bersama-sama kami? Lelaki tersebut menjawab: Ya. Baginda bersabda: Kamu telah diampunkan oleh Allah s.w.t.(Sahih Muslim, No. hadith: 4965)
1. Maksud 'kesalahan hudud' yang dinyatakan oleh lelaki itu adalah kesalahan maksiat yang menyebabkan dirinya boleh dikenakan hukuman takzir. Bukan kesalahan hudud yang sebenar.
2. Kesalahan maksiat itu adalah dosa kecil yang boleh dibersihkan dengan solat. Sebaliknya, kalau ia adalah dosa besar (kesalahan hudud), maka ia wajib dihukum dengan hukuman hudud.
3. Para ulama berijmak bahawa pelaku maksiat yang melakukan kesalahan jenayah hudud, tidak akan terhapus hukuman yang dikenakan ke atasnya hanya dengan bersolat.
4. Nabi s.a.w. tidak mencungkil rahsia maksiat yang dilakukan pesalah untuk menutup aibnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan