google8dfb9fd65978adab.html ~SILLHOUTTE~: Coret-coret Aidilfitri ;) Coret-coret Aidilfitri ;)

02 September 2011

Coret-coret Aidilfitri ;)



Salam dan Selamat Hari Raya semua ..dalam banyak2 aktiviti sepanjang kita berhari raya..antara yang sering diamalkan ialah aktiviti ziarah menziarahi ..mari kita review sebentar adab berziarah ..semoga saya sendiri juga turut mengamalkannya..

Adab-adab sebelum berziarah:
*Memilih masa yang sesuai
*Memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat
*Berniat pertemuan dan perpisahan adalah kerana Allah

P/s: Masa yang sesuai dikira berdasarkan keselesaan pihak yang anda kunjungi, bukan keselesaan pihak anda.

Sebagai contoh, kunjungan ke rumah seseorang tanpa perkhabaran terlebih dahulu, melebihi pukul 10 malam kerana masa tersebut dikira sebagai masa rehat, bukanlah masa yang sesuai. Jalan terbaik, khabarkan terlebih dahulu kepada tuan rumah mengenai kunjungan anda.

Tambahan : - Sekiranya Tuan Rumah  sedang sibuk dan tidak memberikan jawapan balasan atau menjawab panggilan anda dan sebagainya..jgnlah berkecil hati..mungkin tuan rumah mempunyai urusan nya sendiri dan belum rasa selesa untuk menerima kehadiran tetamu.

- Sedang kita bertandang ke rumah orang..tiba2 ada tetamu lain datang berziarah..segeralah beredar pulang..segera habiskan makan apa yg patut..segera pendekkan perbualan..bagi peluang Tuan rumah melayan tetamu2 yang lain dan rasa selesa untuk menjemput tetamu lain. Ini lebih menyenangkan tuan rumah.

- Sekirannya anda dah memaklumkan kepada tuan rumah/ orang yang ingin diziarahi/ dilawati..tentang kehadiran anda..sekiranya kedua-dua pihak setuju dan telah menetapkan masa..sila confirmkan betul2 dan tepati janji anda..ini kerana Tuan Rumah sudah pon fixed kan masanya untuk menunggu anda dan sudah menyediakan hidangan untuk anda. Jika anda memungkiri janji atau tukar plan atau membatalkan pada saat-saat akhir..Ini menyusahkan dan mengecewakan tuan Rumah...



Adab semasa menziarah:
*Memberi salam dan bersalaman
*Meminta izin untuk masuk
*Memendekkan tempoh ziarah
*Mengawal pandangan
*Merendahkan suara

P/s: Memendekkan tempoh ziarah bermaksud tidak bersenang-senang di rumah tersebut untuk jangka masa yang lama.

Seseorang dikira sebagai tetamu hanya di dalam tempoh tiga hari ziarah. Walaupun begitu, anda perlu peka dengan keadaan dan situasi tuan rumah, agar kunjungan anda tidak menimbulkan ketidakselesaan kepada mereka.

Mengawal pandangan pula termasuklah mata anda tidak meliar atau merayau-rayau ke segenap ceruk rumah meneliti setiap hiasan atau susun atur kelengkapan rumah yang anda kunjungi.

Adab selepas menziarah:
* Meminta izin apabila hendak beredar
* Memberi salam dan bersalaman sebelum beredar
* Perkara yang perlu dihindarkan semasa menziarah
* Enggan memberi salam
* Masa yang tidak bersesuaian
* Mengaibkan tuan rumah
* Mengumpat

Satu perkara yang perlu diingat adalah memberi salam kepada tuan rumah turut mempunyai syarat yang tertentu.

Jika pintu rumah terbuka, jangan berdiri di depan muka pintu dan memberi salam. Anda perlu berdiri agak jauh dari muka pintu, anggaran tidak dapat melihat isi rumah termasuk tuan rumah, bimbang terdedah aurat tuan rumah atau apa-apa sahaja yang mungkin tidak mahu diperlihatkan oleh tuan rumah.

Mungkin nampak mudah dan agak remeh namun jika tidak diberi perhatian, kunjungan anda mungkin boleh menimbulkan kebencian dan permusuhan. 

 Sumber Akhbar Kosmo ( tak ingat bila;D;D)
____________________________________________

Tambahan....

Kanak-kanak adalah insan paling gembira menjelang Aidilfitri. Di samping pakaian baru, mereka teruja menerima duit raya daripada orang yang lebih tua.


Ada juga kanak-kanak beraya bukannya kerana ingin berziarah sebaliknya mengumpul duit raya semata-mata. Dalam kegembiraan mengumpul duit raya ini, ada kanak-kanak tidak dapat mengawal rasa gembira sehinggakan boleh menimbulkan rasa kurang senang kepada tuan rumah.


Ada pula yang menunjukkan perangai kurang manis seperti menumpahkan biskut raya di permaidani, memasuki bilik tetamu, menyepahkan barang dan memecahkannya. Semua tindakan ini tentunya di luar kawalan apabila ibu bapa membawa anak bersama. Justeru, apakah cara paling berkesan mendidik anak supaya mereka menunjukkan tingkah laku yang baik ketika beraya?


Ibu bapa berperanan penting mendidik anak mengenai adab ketika berziarah. Tujuan berziarah adalah untuk bermesra sesama jiran atau saudara-mara sambil bertanya khabar. Justeru, pesan kepada anak ketika di rumah lagi mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Jangan pula tidak makan, tidak minum dan berbual, semata-mata menanti sampul duit raya. Ini tentunya bertentangan dengan semangat berziarah iaitu mengeratkan perhubungan.


Ada pula anak ingin mengumpul duit raya sanggup mengunjungi rumah sehingga dua tiga kali. Tuan rumah selalunya tidak menyedari kanak-kanak itu pernah singgah lantas memberikan duit raya sekali lagi. Jangan pula mengambil kesempatan kebaikan tuan rumah untuk membuat duit raya. Berilah peluang kepada orang lain pula untuk menerima duit raya. Dalam hal ini ibu bapa perlu menunjukkan tingkah laku yang baik sebelum menjadi ikutan anak-anak.


Berikut antara panduan yang boleh dijadikan rujukan ibu bapa dan anak ketika berhari raya:

Untuk anak:

1. Hormati tuan rumah

Apabila tiba di rumah yang dikunjungi, elakkan daripada terus ke meja hidangan. Sebaiknya, cari tuan rumah terlebih dulu atau jika tidak ada, mungkin mereka sibuk di dapur atau melayan tetamu lain. Ajar anak untuk bersalaman dengan tetamu berdekatan ketika itu. Kemudian duduk dengan sopan. Sementara menunggu tuan rumah keluar, ambil kesempatan berbual-bual mesra dengan tetamu yang ada.

2. Jaga adab ketika makan

Menunjukkan budi bahasa yang baik ketika makan sangat penting. Elakkan daripada berebut. Jika perlu, beratur mengikut giliran. Ambil makanan ketika dipelawa tuan rumah. Mengambil makanan dengan kadar sederhana juga menunjukkan adab yang baik. Mengelak daripada mengambil makanan berlebihan sehingga kelihatan berlonggok di pinggan satu cara yang amat baik. Habiskan makanan diambil dan elakkan pembaziran. Untuk ibu bapa, pastikan mereka menyuapkan anak makan dan minum bagi mengelak tertumpah. Jangan biarkan anak mengambil sendiri makanan dikhuatiri peralatan digunakan pecah. Ketika inilah ibu bapa boleh mendidik anak-anak supaya bersopan ketika makan.

3. Berdisiplin dan menjaga adab ketika beraya

Kehadiran anak bersama ibu bapa memang sukar dikawal, sehingga ada yang berlari-lari keluar masuk ke rumah, masuk ke bawah meja, naik ke atas meja makan, masuk ke bilik tuan rumah yang kebetulan mungkin tidak berkunci, masuk ke dapur, menangis atau tertumpah air di lantai dan pelbagai lagi kerenah semula jadi mereka. Di sinilah peranan ibu bapa untuk mengajar anak dengan sifat yang baik. Biasanya anak kecil akan mudah bosan jika terlalu lama beraya, justeru jangan terlalu lama beraya untuk kenalan biasa melainkan saudara terdekat atau kenalan rapat. Ini memastikan anda boleh menggunakan ruang rumahnya seperti menidurkan dan memandikan anak tanpa masalah.


4. Jangan mata duitan
Kanak-kanak juga perlu diingatkan jangan hanya berhari raya di rumah orang kaya saja. Tujuan asal berziarah pada hari raya adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama Islam. Oleh itu, jangan dipinggirkan mereka yang miskin dan kurang berkemampuan untuk memberi duit raya. Didik anak agar tidak terlalu menjadi mata duitan dengan membeza-bezakan pemberian duit raya. Selepas balik daripada beraya, sepatutnya anda mengajar anak supaya bersyukur dengan pemberian itu. Katakan kepada mereka, walau macam mana miskin dan daif sekalipun tuan rumah, mereka tetap gembira menerima kunjungan kanak-kanak pada hari raya.

Panduan untuk ibu bapa:

1. Duit raya sedekah
Duit raya yang dihulur mungkin suatu 'paksaan' bersedekah. Sebenarnya syarat bersedekah ialah mesti diberi dengan ikhlas sekadar termampu. Ada ibu bapa yang memberi duit raya kerana orang lain memberikan duit raya kepada anak mereka. Jika tidak dibalas takut berkecil hati, lantas memberi kerana terpaksa atau menutup malu. Pemberian sedekah begini tentu kurang daripada segi keikhlasannya. Ada juga yang berniat untuk menunjuk-nunjuk ketika memberi duit raya kepada kanak-kanak. Niat perlu diperbetulkan. Seeloknya duit dimasukkan di dalam sampul agar jumlah wang yang diberi tidak dapat dilihat orang lain.

2. Kawal suara ketika berbual

Keseronokan berbual terutama bertemu rakan juga ada kalanya membuatkan kita tidak sedar mengeluarkan suara yang kuat. Kadang-kadang, ia boleh mengganggu orang lain. Lebih parah, andai perbualan itu berkisar kepada umpatan atau perkara yang boleh menyakitkan hati tuan rumah atau orang lain. Keseronokan berbual mengenai perkembangan politik tanah air ada kalanya agak sensitif apabila terdapat orang politik pihak lawan yang hadir ketika itu. Sebaiknya sebagai tetamu, kita seharusnya mengawal suara dan berbual pada perkara yang dirasakan boleh dikongsi bersama tanpa menimbulkan sensitiviti.


3. Memelihara pandangan
Sebagai tetamu, sebaiknya elakkan memandang ke sana ke sini. Sekali sekala itu wajar. Cuma, pandanglah perkara perlu saja seperti memandang wajah tetamu yang datang dengan pandangan ikhlas bersama senyuman. Memandang tetamu yang lain berkali-kali sambil berbisik dengan rakan sebelah juga perlu dielakkan. Ini mungkin menimbulkan rasa tidak selesa pada orang yang berkenaan. Lebih teruk jika membabitkan umpatan kepada orang lain.


4. Hadkan masa
Kadang-kadang keseronokan bertemu kawan lama membuatkan kita tidak sedar sudah lama berada di sana. Kunjungan yang sepatutnya berlangsung dalam 20 hingga 30 minit akhirnya sehingga tiga jam. Rasanya, tempoh itu terlalu lama. Ini mungkin menimbulkan rasa tidak senang atau tidak selesa kepada tuan rumah. Lebih malang andai ruangan rumah atau kerusi tetamu yang disediakan begitu terhad. Kehadiran kita yang begitu lama dalam majlis itu menghalang orang lain duduk. Tuan rumah mungkin merasa tidak selesa apabila terpaksa berulang kali melayan kita dengan perbualan atau layanan yang sewajarnya diberikan kepada tetamu baru.


5. Bilangan kehadiran yang sederhana
Membawa ahli keluarga dan rakan ke satu majlis rumah terbuka memang seronok. Namun, kedatangan rombongan yang ramai mungkin akan menjadi satu kesulitan kepada tuan rumah apatah lagi kehadiran kita di majlis itu tidak diberitahu lebih awal. Manalah tahu jumlah makanan disediakan ala kadar saja. Hal sekecil ini wajar diambil perhatian untuk mengelak masalah kepada tuan rumah. Siapa tahu, disebabkan kehadiran yang ramai, tuan rumah boleh bergaduh suami isteri disebabkan suasana kelam kabut.


6. Layan kanak-kanak
Bagi ibu bapa, luangkan sedikit masa untuk melayan kanak-kanak yang bertandang ke rumah. Tidak perlu menunggu 'rumah terbuka' baru hendak melayan mereka. Pamerkan kemesraan dan sifat kasih sayang kepada anak-anak yang datang. Jika anda melayan anak orang lain dengan baik, pastinya anak anda juga akan dilayan dengan baik oleh orang lain.

Akhir kata ..Islam ini cantik dan indah terletak pada akhlak dan peri laku. Marilah sama2 kita perbetulkan diri kita lebih2 lagi diri saya sendiri ini ketika berziarah. Semoga Tuan Rumah dan tetamu2 dua2 belah pihak sama2 gembira..sama-sama ikhlas dan saling memudahkan antara satu sama lain bukan menyusahkan.

Salam Aidilfitiri dan ziarahlah dengan hati yang suci.

p/s _ lebih mengingatkan diri sendiri yang sering alpa

2 ulasan:

Aini Afifah berkata...

good info (:

wahyu-amanullah berkata...

kunjungi balik blog saya donk