02 April 2011
Katakan NO pada Ghibah
Assalamualaikum Warahmatullah..Alhamdulillah ..bersyukur kita kepada Allah s.w.t.. Allah al- Azim..Allah al-Aziz..Allah..ar-Rahman kerana kita masih lagi bernafas masih lagi menikmati hidup masih lagi menikmati iman dan Islam..itulah lebih utama...semoga apabila menjelang akhir usia InsyaAllah kita akhirnya mati dalam keadaan Iman dan Islam dan dalam Husnul Khatimah seterusnya layak terpilih masuk ke dalam Al-Jannah..masyaAllah..Mudah-mudahan..alangkah indah..
Hari ini saya terdetik untuk menampal suatu tazkirah khususnya buat peringatan diri saya sendiri. Saya sendiri akui dalam kesibukan dan kemeriahan kita dalam pergaulan seharian serta sosial kehidupan..adakalanya saya kerap terkena / akan tempias dengan perkara -perkara sebegini..sering terpalit dengan perkara ini..samada sengaja atau tidak sengaja..samada direct atau indirect..kadang-kadang kita tak berniat pon tapi kita telah melakukan..telah mengatakan...adakalanya hati ini sgt susah untuk dijaga dan dikekalkan kesucian..ada saja syak wasangka bersarang dalam diri...adakalanya sukar sekali untuk memelihara telinga dari mendengar perkara bukan-bukan..mendengar benda-benda Hearsay...Adakalanya sukar menjaga dan mentafsirkan pandangan mata..tengok perkara ini sangka benda lain..
Kita (lebih merujuk kepada diri sendiri..) sering berhajat untuk menjadi mukmin yang baik..mengimpikan untuk menuju ke Syurga..mengakui banyak melakukan amal ibadah..banyak baca Al-Quran...banyak bangun malam untuk bertahajud..tapi tidak menyedari akan semua amalan kita sebenarnya telah hangus dan zero dek kerana tidak/ kurang menjaga pancaindera terutamanya MULUT..
Walaupun perkara ini kita sebenarnya dah tahu..teorinya pon tahu dan dah belajar..tak mengapalah ia selalu diulang-ulang..agar diri ini sentiasa rasa diingatkan dan dapat jauh serta buang terus perkara ini dalam kamus kehidupan..
Apakah perkara itu?? Perkara itu adalah Mengumpat dan apa-apa bersangkutan dengannya.
Makna Mengumpat
Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam telah menafsirkan makna ghibah dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:
«أتدرون ما الغيبة ؟ قالوا : الله ورسوله أعلم، قال : ذكرك أخاك بما يكره. قيل : أفرأيت إن كان في أخي ما أقول ؟ قال : إن كان فيه ما تقول فقد اغتبته وإن لم يكن فيه فقد بهته».
«Adakah kamu tahu apa itu ghibah?”, mereka berkata : Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda berkata : “Engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya“. Dikatakan : Beritahukanlah kepadaku, bagaimana sekiranya ada pada saudaraku itu apa yang aku katakan? Baginda berkata : “Sekiranya ada padanya apa yang kamu katakan, maka kamu telah mengumpatnya, jika tiada padanya apa yang kamu katakan maka kamu telah memfitnahnya». (Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Darimi, Ahmad dan Ibn Hibban)
Imam al-Ghazali rahimahullah (meninggal 510H) mengatakan ghibah itu bermaksud : ‘…engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya sekiranya sampai perkara itu kepadanya, samada kekurangannya pada tubuh badannya, keturunannya, akhlaknya, perbuatannya, perkataannya, agamanya, atau dunianya hatta pakaiannya, rumahnya atau haiwannya..’. (Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah)
Ghibah boleh terhasil dengan perkataan, penulisan, isyarat, gelaran dan lain-lain. Maka dengan ini, setiap perkara yang tidak disukai oleh seseorang sekiranya disebut tanpa kehadirannya, walau sekecil mana pun perkara itu, adalah dikira sebagai ghibah atau mengumpat.
Maka membuat sindiran itu samalah seperti berkata dengan berterus-terang,perbuatan pula samalah dengan perkataan,mengisyarat samalah dengan mengangguk,berkelip mata samalah dengan membisik-bisik,menulis samalah dengan menunjuk gerak laku.Pendek kata apa saja yang dilakukan yang boleh menunjukkan kepada maksud dan tujuan ghibah atau mengumpat,maka ia dilarang dan dihukumkan haram.
Dalil Haramnya mengumpat
1) Al-Quran :
﴿ ولا يغتب بعضكم بعضا أيحب أحدكم أن يأكل لحم أخيه ميتا فكرهتموه واتقوا الله إن الله تواب رحيم ﴾
Maksudnya : ‘..dan jangan pula setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentu kamu benci memakannya. Takutlah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat : 12)
Ayat ini merupakan satu-satunya ayat larangan ghibah secara langsung dan di dalamnya terdapat larangan yang keras apabila Allah s.w.t menyamakan ghibah dengan orang yang memakan daging saudaranya sendiri. Berkata Ibn Kathir rahimahullah (meninggal 774H) mengenai tafsir ayat ini : ‘sebagaimana secara fitrahnya kamu benci memakan daging saudara kamu sendiri, maka bencilah juga ghibah itu sebagaimana yang ditetapkan secara syara”. (Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir ‘an al-Hafizh Ibn Kathir; Mukhtasar Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/358, Mansurah : Dar al-Wafa’ 2005)
2) Sunnah :
وعن عائشة رضي الله عنها قالت قلت للنبي صلى الله عليه وسلم : حسبك من صفية كذا وكذا . قال بعض الرواة : تعني قصيرة فقال : [ لقد قلت كلمة لو مزجت بماء البحر لمزجته ] قالت : وحكيت له إنسانا فقال : [ ما أحب أني حكيت إنسانا وإن لي كذا وكذا ].
Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha dia berkata : Aku berkata kepada Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam : Cukuplah bagimu dari keburukan Safiyah seperti ini. Berkata sebahagian perawi : Dia (‘Aisyah) mengisyaratkan bahawa Safiyah itu rendah. Baginda berkata : “Sesungguhnya engkau telah mengucapkan suatu kalimah yang mana jika dicampurkan (kalimah itu) dengan air laut nescaya akan tercampurlah (rosaklah dan bertukarlah) ia.” ‘Aisyah berkata : Aku menceritakan kepada baginda mengenai seseorang, baginda berkata : “Tidaklah aku suka bercerita mengenai seseorang walaupun aku diberi itu dan ini (dari benda-benda keduniaan).” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, Ahmad dan al-Baihaqi; berkata al-Tirmizi : ‘Ia adalah hadis hasan sahih‘; dinilai sahih oleh al-Albani)
Cukuplah hadis ini bagi menerangkan betapa buruknya ghibah itu. Hanya dengan satu perkataan, bahkan dalam hadis di atas ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha hanya mengisyaratkan sahaja bahawa Safiyah radhiyallahu ‘anha itu rendah, maka ia cukup untuk mengotorkan air laut seluruhnya. Berkata al-Nawawi rahimahullah (meninggal 676H) : ‘Makna : (tercampurlah ia) dalam hadis di atas ialah air itu bercampur dengan kalimah itu sehingga bertukar rasanya atau baunya disebabkan buruknya perkataan ghibah itu. Hadis ini merupakan antara larangan yang paling keras mengenai ghibah, Allah berkata : ﴿ وما ينطق عن الهوى إن هو إلا وحي يوحى ﴾ Maksudnya : [ Tiadalah ia berbicara menurut hawa nafsunya, ia tidak lain hanya wahyu yang diwahyukan kepadanya ]. (Surah al-Najm : 3-4)’ (al-Nawawi, Riyadh al-Salihin, 523, Beirut : al-Maktab al-Islami 1998)
وعن أنس رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : [ لما عرج بي مررت بقوم لهم أظفار من نحاس يخمشون وجوههم وصدورهم فقلت : من هؤلاء يا جبريل ؟ قال : هؤلاء الذين يأكلون لحوم الناس ويقعون في أعراضهم ].
Diriwayatkan dari Anas radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : ‘Ketika aku dinaikkan ke langit, aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka mencakar-cakar muka dan dada mereka, maka aku berkata : Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril berkata : Merekalah orang-orang yang memakan daging manusia dan mengaibkan maruah mereka.” (Riwayat Abu Daud; dinilai sahih oleh al-Albani)
‘Memakan daging manusia’ yang dimaksudkan dalam hadis di atas ialah mengumpat orang-orang Islam. (al-’Azim Abadi, ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 13/104, Beirut : Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabi 2001).
عن أبي برزة الأسلمي قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : [ يا معشر من آمن بلسانه ولم يدخل الإيمان قلبه لا تغتابوا المسلمين ولا تتبعوا عوراتهم فإنه من اتبع عوراتهم يتبع الله عورته، ومن يتبع الله عورته يفضحه في بيته ].
Dari Abi Barzah al-Aslami, beliau berkata : Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : “Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya (tetapi) tidak masuk iman itu ke dalam hatinya! Janganlah mengumpat orang-orang Islam dan janganlah mencari-cari keaiban mereka, sesungguhnya sesiapa yang mencari-cari keaiban orang maka Allah akan mencari keaibannya, dan sesiapa yang dicari oleh Allah akan keaibannya maka Dia akan menyingkap keaibannya (hatta) di rumahnya sendiri.” (Riwayat Abu Daud; dinilai oleh al-Albani sebagai hasan sahih)
وعن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : ] كل المسلم على المسلم حرام : دمه وعرضه وماله [.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alayhi wa sallam berkata : "Setiap Muslim ke atas seorang Muslim adalah haram : darahnya, maruahnya dan hartanya." (Riwayat Muslim)
Hadis di atas menunjukkan bahawa haram bagi seorang Muslim itu untuk mengaibkan maruah seorang Muslim yang lain dan menceritakan keburukannya kepada orang lain. Antara hak seorang sahabat itu adalah tidak diceritakan keaibannya semasa kehadirannya atau ketiadaannya. Mereka yang mengaibkan sahabatnya maka ketahuilah bahawa dia telah melanggar hak seorang Muslim yang diharamkan ke atasnya.
Dalil haramnya mendengar ghibah/ Umpat
Bukan sahaja ghibah itu dilarang, bahkan mendengarnya juga adalah haram. Hikmah larangan ini tidak lain adalah untuk menjaga maruah manusia dan ghibah tidak akan terhasil melainkan dengan komunikasi 2 hala ; pencerita dan pendengar.
Al-Nawawi rahimahullah telah menyebutkan satu bab di dalam kitab Riyadh al-Salihin yang bertajuk : [ Bab pengharaman mendengar ghibah ; dan perintah bagi mereka yang mendengar ghibah yang haram untuk menghentikan atau mengingkarinya, jika dia tidak mampu atau tidak diterima pengingkarannya, maka hendaklah dia meninggalkan majlis jika dia mampu ]. Di bawah bab ini, al-Nawawi rahimahullah menyebut beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menyatakan larangan mendengar ghibah. Antaranya adalah seperti berikut :
﴿ وإذا سمعوا اللغو أعرضوا عنه ﴾
Maksudnya : Apabila mereka mendengar percakapan kosong (perkataan yang tidak berfaedah) , mereka berpaling daripadanya. (Surah al-Qasas : 55)
Al-laghwu dalam ayat di atas bermaksud perkataan yang tidak berfaedah dan buruk, dan ghibah adalah seburuk-buruk perkataan.
﴿ إن السمع والبصر والفؤاد كل أولئك كان عنه مسئولا ﴾
Maksudnya : Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, masing-masing akan disoal (dipertanggungjawabkan). (Surah al-Isra’ : 36)
عن أبي الدرداء رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : [ من رد عن عرض أخيه رد الله عن وجهه النار يوم القيامة ].
Dari Abi Darda’ radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam, baginda berkata : “Sesiapa yang melarang seseorang dari (mengaibkan) maruah saudaranya, maka Allah akan melarang (menahan) mukanya dari api neraka pada hari kiamat kelak.” (Riwayat al-Tirmizi ; al-Tirmizi berkata : ‘Ini hadis hasan‘ ; dinilai sahih oleh al-Albani)
Sebuah lagi hadis yang dinaqalkan oleh al-Munziri dalam kitabnya al-Targhib wa al-Tarhib (3/1044, Riyadh : Maktabah al-Ma’arif 2004) :
وعن عبد الله بن مسعود رضي الله عنه قال : كنا عند النبي صلى الله عليه وسلم، فقام رجل، فوقع فيه رجل من بعده، فقال النبي صلى الله عليه وسلم : [ تخلل! ] فقال : ومما أتخلل؟ ما أكلت لحما! قال : [ إنك أكلت لحم أخيك ].
Dari Abdullah ibn Mas’ud radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata : Kami berada di sisi Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam, kemudian berdirilah seorang lelaki, dan seorang lelaki lain menceritakan keaibannya selepas dia pergi, berkata Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam : “Keluarkanlah ia (baki-baki makanan) dari celah-celah gigimu!”, kemudian dia berkata : Apa yang perlu aku keluarkan? Aku tidak makan apa-apa daging! Baginda berkata : “Sesungguhnya engkau telah memakan daging saudaramu.” (Riwayat Abu Bakar ibn Abi Syaibah dan al-Thabarani ; dinilai oleh al-Albani sebagai sahih li ghairihi)
Banyak lagi hadis-hadis mengenai pengharaman ghibah ini, jika berkesempatan maka rujuklah kitab Riyadh al-Salihin, al-Targhib wa al-Tarhib, Ihya’ ‘Ulum al-Din dan lain-lain.
Mengumpat yang dibenarkan
Terdapat beberapa keadaan yang diizinkan untuk kita menyebut keburukan orang lain, dan ia adalah tujuan syara’ yang sahih, yang mana tidak mungkin suatu maslahah itu tercapai melainkan dengan ghibah.
Al-Nawawi dan Ibn Qudamah (meninggal 689H) rahimahumallah menyebut 6 keadaan :
Pertama : Membuat aduan mengenai kezaliman. Dibolehkan bagi seorang yang dizalimi untuk mengadu kepada pemerintah atau qadhi atau selain daripada mereka yang mempunyai kuasa atau kemampuan untuk mengadili penzalim tersebut.
Kedua : Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan maksiat. Dibolehkan menyebut keburukan orang itu (perbuatannya melakukan mungkar) kepada mereka yang diharapkan untuk mengubahnya, jika tidak dimaksudkan untuk mengubah, maka haram baginya menyebut keburukan orang itu.
Ketiga : Meminta fatwa. Sebagai contoh : ‘Suami saya telah menzalimi dan memukul saya, maka apakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?’ Yang lebih berhati-hati dan lebih baik adalah tidak menyebut secara khusus ketika bertanya dan hanya menyebut secara umum sahaja. Tetapi diizinkan untuk menyebut secara khusus sebagaimana Hind bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam mengenai suaminya yang bakhil, Abu Sufyan, adakah boleh dia mengambil apa yang mencukupi baginya dan anaknya sedangkan dia tidak mengetahuinya, dan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam tidak melarang Hind menyebut secara khusus nama suaminya di hadapannya (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Keempat : Peringatan buat kaum Muslimin. Sebagai contoh :
1) Rundingan dalam urusan untuk mengahwinkan orang, atau memilih orang untuk memegang amanah dan lain-lain, wajib bagi orang yang mengetahui untuk memberitahu keburukan orang yang dibincangkan (jika boleh menyebabkan orang itu menanggung padah dalam urusannya nanti) dengan niat untuk menasihati.
2) Jika dilihat seorang penuntut ilmu itu menuntut ilmu dari seorang ahli bid’ah atau fasiq, maka hendaklah diberitahu keadaan orang itu bahawa dia adalah ahli bid’ah atau fasiq dengan niat untuk menasihati dan jauh daripada perasaan hasad.
3) Menceritakan kecacatan perawi, ia dibolehkan secara ijma’ bahkan wajib.
Kelima : Dibolehkan jika dia memang dikenali dan dipanggil dengan gelaran-gelaran tertentu seperti si buta, si pekak, si juling dan lain-lain dan dia redha dengannya. Jika boleh digelar dengan selain daripada gelaran-gelaran ini adalah lebih baik.
Keenam : Dibolehkan ghibah jika dia memang melakukan dosa secara terang-terangan. Sebagai contoh, meminum arak secara terang-terangan, mengambil harta secara zalim dan lain-lain.
Demikian disebutkan 6 perkara yang dibenarkan ghibah padanya (rujukan : al-Nawawi, Riyadh al-Salihin, 525-527 & Ibn Qudamah, Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, 216-217, Beirut : al-Maktab al-Islami 2000).
Bagaimana untuk menebus kesalahan mengumpat /ghibah?
Berkata Ibn Qudamah mengenai kaffarah ghibah (cara untuk menebus ghibah), orang yang mengumpat telah melakukan 2 jenayah.
Pertama, dia telah melanggar hak Allah kerana melakukan perbuatan yang dilarang. Cara menebusnya ialah dengan penyesalan dan taubat.
Kedua, dia telah melanggar hak makhluk dengan mengaibkan maruahnya. Cara menebusnya, jika umpatan itu sampai ke pengetahuan orang tersebut, hendaklah dia berjumpa dengannya dan meminta dia meng’halal’kannya, memohon maaf serta menzahirkan penyesalan di atas perbuatannya. Jika tidak sampai, maka hendaklah memohon Allah mengampun dosanya.
Berkata Mujahid : ‘Kaffarah ghibah ialah engkau memujinya dan mendoakan kebaikan baginya, begitu juga jika dia telah mati.’ (Ibn Qudamah, Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, 218)
Cara nak jauhi..nak buang sifat ini..nak mengelak..
a) Jadi pendiam adakalanya lebih baik..bercakap biar perlu..berfikir dulu sebelum bercakap..fikir dan fikir
b) Bersangka baik..melihat semua perkara itu sebagai suatu yang positif..anggap yang baik-baik saja..kalau dirasakan perkara itu tidak penting..tidak melibatkan perkara2 besar seperti hidup/ mati..masa depan ke apa..tidak perlu diendahkan dan difikirkan dan dilibatkan diri dan diperkatakan..
c) Selalu fikir dan menilai keaiban diri dan kejelekan diri..kalau kita tengok orang tuh tak baik..anggap semua org itu baik2..anggaplah diri kita ni sebenarnya ada lagi kekurangan ada lagi kurang kebaikan yang tidak kelihatan dan tidak dipamerkan..kalau kita mmg rasa kita ni dah baik maka bersyukurlah sbb kita ni dah baik dan berusaha kekal dan tingkatkan kebaikan dan doakan org tuh agar suatu hari nanti dia juga baik dan lebih baik lagi..ingat kita manusia ni sering berubah..boleh jadi hari ini dia x baik..esok dia lebih baik lagi dari kita..
d) Isikan masa lapang dengan perkara2 berfaedah seperti bersukan..membaca..memasak..dan jauhi bercakap..bercakap banyak sebenarnya kurang berfaedah..bercerita perihal orang..bercerita ttg sifat orang lepas tuh gelak-gelak rasa lawak..boleh mendorong ke arah mengumpat tanpa disedari..
e) Bergaul dengan orang-orang baik dan berilmu..tingkatkan kualiti diri dan ilmu..kurangkan rasa ingin nak berseronok..
Ya Allah ..semoga Kau ampunkan dosa-dosa ku..bimbinglah aku ke-jalan2 kebaikan..berilah aku pertunjuk ke jalan yang lurus..redhailah diriku..Masukkan kan aku kedalam golongan2 orang Soleh..Ameen..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan