" Wa ladzi nas tajabu li robihim wa aqamus solata wa amruhum syura bainahum wa mimma razqna hum yunfikuun "
Surah As Shura : 38
Syura( consultation) merupakan suatu perkara penting dalam membina satu jemaah. Syura bukan sahaja tertumpu pada sudut bidang pentadbiran dan pemerintahan sahaja, bahkan ia merangkumi setiap aspek dan seluruh sudut kehidupan tanpa mengambil kira dimana tempat dan tempoh masa.
Apa itu Syura?
Menurut Abu Ali al-Tabarsi, syura adalah suatu perbincangan untk mendapatkan kebenaran.
MenururAl-Asfahani, syura adalah sebagai merumuskan pendapat melalui perbincangan.
Secara keseluruhannya, Syura adalah perbincangan atau rundingan bertujuan untuk mengetahui pelbagai buah fikiran ke arah mencapai suatu rumusan atau persepakatan.
Al-Quran dan hadis tidak menetapkan cara-cara tertentu mengenai kaedah bagaimana untuk melaksanakan syura. Persoalan cara dan bagaimana itu terpulang pada kepada kebijaksanaan masing-masing, sesuai dengan keperluan sesuatu masa, tempat dengan syarat syura tidak boleh dilakukan dalam perkara-perkara yang mana sudah terdapat nas dan hukum yang jelas atau terkeluar dari prinsip-prinsip maqasid syariah. Ini bermakna terdapat unsur fleksibiliti dari segi mekanisma syura sesuai dengan keperluannya yang berbeza-beza mengikut kehendak sesuatu perkara.
Contoh Aplikasi Syura pada zaman nabi
1) Kisah Rasulullah s.a.w bermesyuarat bersama-sama para sahabat ketika membincangkan staratergi untuk menentang kaum kafir dalam peperangan Uhud. Rasulullah memberi cadangan supaya tentera Islam bertahan di kota madinah sahaja. Akan tetapi, para sahabat tidak bersetuju dan memberikan kritikan. Akhirnya, Rasulullah s.a.w akur dengan pandangan majoriti sahabat. Mereka berkata : "Wahai Rasulullah, kami sungguh bercita-cita untuk bertemu seperti hari ini, kami berdoa kepadaAllah supaya menunaikannya, sekarang telah tiba masanya, perjalanan dekat sahaja, keluar sahaja berdepan dengan musuh, supaya mereka tahu bahawa kami bukannya pengecut."
2) Perjanjian Hudaybiyah pada 6 hijarah. Perjanjian ini ditandatangani antara pihak Musyrikin Mekah dengan Rasulullah s.a.w. Rasulullah bersama-sama 1400 orang Islam Madinah menuju ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji dan umrah . Apabila pihak Musyrikin mendapat tahu hal ini, wakil mereka datang menemui Rasulullah untuk mengetahui tujuan kedatangan orang Islam ke Mekah. Maka, Rasulullah menghantar Uthman bin Affan ke Mekah untuk menjelaskan tujuan tersebut kepada wakil pihak Musyrikin itu. Uthman bin Affan ditahan dan tersebar berita bahawa beliau telah dibunuh. Orang Islam pun berikrar untuk menuntut atas kematian itu. Ikrar ini dikenali sebagai Baiatul Ridhwan. Apabila mendengar berita ini, pihak Musyrikin pun membebaskan Uthman bin Affan dan menghantar Suhail bin Amru untuk berunding dengan orang Islam. Perundingan ini membawa kepada berlakunya "Perjanjian Hudaibiyah".
Isi Perjanjian Hudaybiyah :
-Gencatan senjata selama sepuluh tahun.
-Orang Islam dibenarkan memasuki Makkah pada tahun berikutnya, tinggal di Makkah selama tiga hari sahaja dengan hanya membawa senjata bersarung.
-Bekerjasama kepada perkara yang membawa kebaikan.
-Orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga dikembalikan semula.
-Orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan.
-Kedua-dua pihak boleh membuat perjanjian dengan mana-mana kabilah Arab tetapi tidak boleh membantu peperangan
Contoh Aplikasi pada zaman Sahabat.
1) Selepas kewafatan Rasulullah, pada zaman khalifah Abu Bakar, terdapat golongan yg enggan membayar zakat. Maka Khalifah Abu Bakar mengadakan perbincangan dengan para sahabat untuk mencari jalan bagalimana dan kaedah yang sesuai utk diambil bagi mengatasi masalah ini. Akhirnya, persepakatan dicapai iaitu memerangi golongan ini.
Terlalu banyak contoh-contoh iktibar boleh diambil dari sirah Rasululah dan Para Sahabat tentang pengaplikasian Syura.
Aplikasi Masa Kini
Seiring dengan peredaran masa, syura banyak diaplikasikan dalam pelbagai cara dan pelbagai bentuk. Dalam institusi pentadbiran dan pemerintahan misalnya, amalan syura tetap wujud cuma ia dipraktiskan dalam cara berbeza. Sebagai contoh, dalam proses pemilihan pemimpin, sistem pilihanraya dijalankan. Dalam proses penggubalan undang-undang pula misalnya, dimana perlembagaan negara kita memberi kuasa kepada Parlimen/ demokrasi berparlimen untuk membuat undang-undang. Setelah melalui pelbagai peringkat dan proses, kemudian mendapat sokongan majoriti 2 per 3 dan akhirnya mendapat persetujuan Yang dipertuan Agong barulah seseuatu undang-undang itu boleh dikuatkuasakan. Ini merupakan sebahagian contoh pengaplikasian syura pada masa sekarang.
Konsep Syura
Berdasarkan ayat 38 Surah Al-Syura, dasar syura yg diperkenalkan oleh syariah Islam sebagai dasar pemerintahan.
1) Menjadikan musyawarah sebagai sifat orang-orang mukmin dalam segala urusan mereka.
2) dengan mewajibkannya keatas pemerintah menunjukkan betapa pentingnya dasar ini dihayati dalam semua cara hidup secara am dan khusus.
3) Ia menjadi tanggungjawab bagi setiap ahli dalam majlis syura untuk mengeluarkan pendapat dan buah fikiran terhadap setiap perkara yang menyentuh kepentingan umat. Ini menjamin kebebasan berfikir dan kebebasan dalam memberikan pandangan dan cetusan idea tanpa sekatan.
4)Memastikan orang mukmin tidak berlengah-lengah dalam melahirkan pendapat secara ikhlas dan jujur. Penyembunyian maklumat atau mengundur diri dari mengemukakan buah fikiran ketika diperlukan adalah salah dari sudut pandangan syarak. Ini kerana setiap dikalangan orang adalah bertanggungjawab. Nasihat dan teguran adalah kemuncak kebebasan dalam melahirkan pendapat. Kebebasan terutama dalam menyatakan kebenaran merupakan satu jihad fisabilillah.
5) Supaya tidak wujudnya nya unsur-unsur kuku besi, tidak berkeseorangan dalam melakukan sesuatu sebelum dilihat impak baik dan buruknya dan membentangkan kepada org lain bagi mendapatkan pandangan yang tepat.
6) Dengan kesepakatan, kematangan fikiran, permuafakatan dapat melahirkan tanggungjawab bersama dan menguatkan hubungan kuat sesama umat Islam.
Batasan Syura
Dalam Islam, perjalanan Syura tidak boleh keluar daripada prinsip-prinsip sebagaimana yang telah digariskan dalam Quran dan Sunnah. Syura tidak boleh menyentuh sesuatu perkara yang mana ia sudah jelas terdapat nas dan dalil mengenainya. Contohnya hukuman zina sudah termaktub muktamad dalam nas Al-Quran. maka kita tidak boleh mempersoalkan, mempertikaikan dan berbincang mengenainya. Ruang lingkup syura atau musyawarah hanyalah boleh mencari penjelasan atau pentafsiran mengenainya. Jika berlaku pertentangan dengan nas maka syura sebegini adalah dilarang.
Ada satu pendapat mengatakan pemimpin wajib tunduk dengan keputusan dan pandangan ahli syura. Ada yang mengatakan pemimpin tidak wajib menerima keputusan tersebut tetapi terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin untuk menerima atau tidak.
Bagi memastikan perjalanan sistem syura itu lebih berkesan, ada sesetengah perkara-perkara perlu diambil kira:
1) Ahli majlis syura tidak boleh mendominasi dalam memberikan pandangan dan idea
2) Perasaan atau sentimen prejudis, pilih kasih,ego dan rasa marah perlu dibuang dan diketepikan.
3)Semangat ukhuwah dan kepercayaan perlu ada dalam diri setiap ahli majlis syura.
4)Perlu berakhlak dan mempunyai sifat rendah diri dalam mengutarakan kritikan dan pandangan dalam majlis syura.
Syura sebagai suatu kaedah dalam menangani masalah sosial masa kini.
Syura tidak hanya tertumpu kepada skop pentadbiran dan pemerintahan negara sahaja, bahkan ia lebih meluas lagi. Menurut pemahaman saya, syura boleh dibahagikan 4 peringkat iaitu individu, keluarga, badan organisasi dan pentadbiran kerajaan.Tapi saya ingin memfokuskan 2 peringkat iaitu:
1) Individu
Syura boleh diaplikasikan dalam membuat keputusan dalam hidup kita sehari-harian. Sebagai contohnya seorang pelajar mendapat banyak tawaran biasiswa. Atau dia mendapat pelbagai tawaran belajar IPT atau keliru dengan pengkhususan subjek dipilih. Disini pelajar itu perlu berbincang dengan ibu bapanya, bertanya kepada kawan-kawan, merujuk kepada kaunselor atau org2 berpengalaman bagi meminta pandangan untuk membuat keputusan dan untuk tahu tentang buruk baiknya.
2)Keluarga
Di peringkat ini, saya ingin menyarankan agar semua ibu bapa, suami isteri dan anak-anak perlu menerapkan sistem syura dalam institusi kekeluargaan mereka. Ibu bapa perlu mengadakan perbincangan dengan anak-anak bagi mengetahui permasalahan dan perasaan mereka. Begitu juga dengan masalah hubungan suami isteri, suami isteri sepatutnya kerap mengadakan perbincangan dari hati ke hati. Ini lebih baik daripada menceritakan masalah rumahtangga kepada orang-orang luar yang mana ia sebenarnya memburukkan lagi keadaan dan banyak mengundang fitnah sebelum jalan penyelesaian dapat ditemui.
Kesimpulannya amalan syura atau perbincangan perlulah sentiasa diterapkan dalam nilai-nilai kita kehidupan sehari-hari sama ada dari sudut individu, keluarga masyarakat dan ummah keseluruhannya.
Baca Selanjutnya......