google8dfb9fd65978adab.html ~SILLHOUTTE~: Isu dan Kekeliruan Aurat Wanita Isu dan Kekeliruan Aurat Wanita

18 Mei 2009

Isu dan Kekeliruan Aurat Wanita




Kekeliruan - I

Perbincangan mengenai pakaian di dalam al-Quran berkisar kepada konsep kesopanan dan kesederhanaan. Kesopanan dalam peradaban dan pakaian yang dimaksudkan ialah sekadar menutup kemaluan sahaja, dalilnya ialah:

“Surah al-A`raf 7:26 menyebut tentang pakaian menutup aurat dan pakaian perhiasan yang indah tetapi ia menegaskan bahawa “pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya” seterusnya di dalam ayat 31 surah yang sama Allah berfirman “pakailah pakaian kamu yang indah berhias” pada tiap tiap waktu kamu beribadat tetapi janganlah melampaui batas”.



Dalam hal menutup tubuh badan kita, kesopanan yang dimaksudkan ialah supaya kita menutup segala yang aib (caurah sebenarnya yang tidak boleh sengaja didedahkan) kedua-dua ayat ini bila difaham bersama menuntut supaya kita menutup keaiban kita. Tetapi apa yang lebih bermakna di sini adalah bahawa al-Quran menekankan perihal pentingnya taqwa berbanding kain yang menutupi tubuh kita. Tidak kiralah betapa panjang atau kurang”.

Ulasan dan jawapan

Ulama mazhab empat banyak memperkatakan mengenai batasan aurat antaranya Imam Mazhab Maliki menyatakan wajib keatas seorang mukallaf itu menutup auratnya walaupun sudah keluar dari waktu solat dan walaupun dalam keadaan yang sunyi ia adalah makhruh bagi seseorang itu menyingkap cauratnya kecuali untuk qada hajat. Di samping itu juga batasan aurat perempuan di hadapan mahram lelakinya dan terhadap semua perempuan mukmin ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan anggota yang zahir seperti kepala, tengkuk, dua tangan dan dua kaki.

Bagi mazhab Hanbali pula, dinyatakan bahawa aurat perempuan terhadap muhrimnya ialah muka, tengkuk, kepala, tangan , kaki dan betis. Bagi mazhab Syafie pula antara yang diperkatakan adalah makhruh melihat aurat sendiri kecuali untuk Qada hajat dan adalah seluruh badan perempuan itu aurat iaitu termasuk muka dan kedua tapak tangannya dan perlu agar dia menutupnya dari dilihat oleh lelaki ajnabi.

Hujah yang menyatakan bahawa “ketaqwaan itu yang penting dan bukannya kain yang menutupi tubuh”, adalah hujah sambil lewa. Perlu diingat bahawa Al-Quran adalah kalam Allah untuk panduan dan pedoman kepada manusia untuk dituruti sepenuhnya, bukan mengambil yang senang dan membuang yang susah atau mengambil yang mana disukai dan bertepatan dengan selera hati lantas meninggalkan tuntutan yang perlu dilaksanakan. Adalah tidak logik taqwa itu dicapai dengan cara menderhaka kepada Allah iaitu mengabaikan suruhan menutup aurat. Ini adalah sama sahaja seperti hujah mereka yang memetik hujah dari ayat surah an-Nisa dengan mengambil petikan “kahwini mana-man wanita yang kamu suka dua, tiga atau empat” dan meninggalkan petikan “jika kamu bimbang tidak berlaku adil”. Kerana mengahwini wanita lebih dari satu perlu berasaskan keadilan.

Intipati ayat al-Quran diatas ialah Allah Swt bukan setakat menyuruh berpakaian secara sempurna bahkan berpakaian dari sudut hati iaitu taqwa. Jika dilihat dari asbab nuzul ayat tersebut ia sama sekali tidak memberi maksud untuk seseorang itu membuka auratnya. Dan adakah orang yang bertaqwa tetapi tidak memakai tudung itu baik daripada orang yang tidak bertaqwa tetapi memakai tudungnya. Sekurang-kurangnya orang yang memakai tudung itu telah menjalankan tanggungjawabnya terhadap masyarakat untuk mengelak perkara yang tidak baik dari berlaku. Sedangkan orang yang kononya taqwa dengan membuka aurat ini telah menyumbang kepada sesuatu yang tidak baik kepada masyarakat dan maruahnya.

Secara logiknya pula, jika kita mesti menutup caurat di depan Allah s.w.t ketika menunaikan solat sebagai tanda kesopanan dan adab. Sedangkan Allah s.w.t yang agung tidak bernafsu dan tidak dapat kita lihat, maka dihadapan manusia yang bernafsu dan dan boleh berinteraksi dengan kita adalah lebih lagi diperlukan agar caurat itu untuk ditutup dengan sempurna kecuali pengecualian yang telah jelas telah diperuntukkan oleh syariat.

Kekeliruan - II

Adalah penting suruhan menutup aurat itu harus dilakukan tanpa adanya paksaan kerana ia tidak akan membawa kepada taqwa, menurut meraka:

Al-Quran menunjukkan bahawa sifat kesederhanaan dan kesopanan seseorang timbul dari ketaqwaan, ia tidak boleh dipaksa sama ada dengan menutup ataupun mendedahkan aurat. Surah al-Baqarah 2:256 menegaskan bahawa “tidak ada paksaan dalam agama”. Dalam tafsirannya, Abdullah Yusuf Ali menerangkan bagaimana agama bergantung atas iman dan kesanggupan, dan kedua-dua sifat ini tidak bermakna jika dipaksa. Didikan dan kesedaran diri dan bukannya paksaan ataupun undang-undang yang akan membawa kepada taqwa.


Ulasan dan jawapan


Umum mengetahui bahawa petikan surah tersebut ditujukan kepada orang bukan Islam dalam mengajak mereka untuk memeluk agama Islam. Ia tidak pula terpakai kepada mereka yang telah memeluk agama Islam dalam melaksanakan ibadat seharian. Adalah merbahaya sekiranya semua suruhan perlu kepada kerelaan hati dan kesanggupan untuk seseorang itu bersedia untuk melakukan ibadat. Maka akan ramai yang tidak mahu sembahyang, berpuasa, menunai zakat dan sebagainya dengan alasan tiada paksaan dalam agama. Jika benar, mengapa Abu Bakar r.a memerangi mereka yang enggan membayar zakat dan Rasulullah telah memulaukan tiga orang sahabat yang tidak menyertai perang kerana kelemahan peribadi mereka?.

Kekeliraun - III

Di dalam surah an-Nur 24 iaitu ayat 30 terdapat arahan agar kedua-dua lelaki dan wanita “menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka” . Oleh itu hujah berikut perlu diambil kira:

“Bagi ayat 30, al-Quran terlebih dahulu memerintahkan kaum lelaki ,jika mereka beriman supaya merendahkan pandangan mereka, demi menjaga kesopanan diri sendiri. Namun sejumlah kaum lelaki tidak mengendahkan tanggungjawab ini, dan sebaliknya memaksa kaum wanita supaya memakai berbagai bentuk pakaian yang menyelubungi tubuh mereka,(dari hujung rambut hingga ke hujung kaki). Wanita telah diberikan tanggungjawab membendung nafsu lelaki dan segala kemungkinan tidak upayanya pihak lelaki mengawal nafsu masing-masing”.

Ulasan dan jawapan


Setiap diri mempunyai kewajipan masing-masing . Kaum lelaki dibebankan dengan tugas yang wajib dilaksanakan menurut garisan yang telah ditetapkan dengan kebijaksanaan Allah swt. Kaum lelaki contohnya diwajibkan memberi nafkah kepada anak isteri dan keluar berjihad. Perintah sebegini tidak pula diwajibkan kepada wanita. Potensi dan kadar kemampuan kaum lelaki adalah berbeza dengan kaum wanita. Maka tugas mereka juga berlainan..Oleh itu perlu diingat bahawa Allah tidak akan memberatkan seseorang manusia melainkan dengan apa yang termampu. Maka kita harus yakini bahawa tuntutan itu mampu dilaksanakan.


Kekeliruan - IV

Dari ayat 31 dalam surah yang sama terdapat suruhan menggesa wanita supaya jangan mendedahkan kecantikan mereka selain dari apa yang dianggap sopan dan menyuruh wanita “menutup belahan bajunya dengan tudung kepala (khimar) mereka”. Petunjuk ayat ini adalah seperti berikut :

“Tudung kepala atau khimar yang dimaksudkan ini dilihat oleh sesetengah para sarjana sebagai selendang perhiasan yang sering dipakai oleh wanita Arab di zaman Jahilliyah yang dibiar meleret di belakang mereka: sejajar dengan fesyen dimasa itu, leher baju wanita begitu luas hingga mendedahkan dada mereka. Oleh yang demikian, perintah menutup belahan leher baju wanita dengan khimar tidak semestinya bermaksud penggunaan khimar itu sendiri. Tafsiran surah tersebut mengutarakan bahawa perintah menjelaskan yang bahagian dada wanita tidak termasuk dalam bahagian badan yang zahir padanya yang boleh didedahkan.”

Ulasan dan jawapan


Busana bertudung atau hijab bukan berasal dari mana-mana bangsa dan tempat. Ia berasal dari ajaran Islam yang tulin. Bangsa Arab juga tidak memakai hijab syarie sebelum diturunkan Al-Quran. Tradisi yang berlaku pada bangsa Jahiliah adalah tradisi yang tidak belandaskan akidah dan akhlak. Ada dikalangan mereka yang mengelilingi Kaabah tanpa berbaju sama ada lelaki atau perempuan. Kaum wanita Jahiliah juga memang suka menampakkan perhiasan yang dipakai di dada atau leher. Mereka mempamerkan badan di tempat keramaian. Tudung yang mereka pakai hanya meleret ke belakang bukan untuk menutup aurat. Baju pula dipakai tetapi terbelah di bahagian hadapan atau belakang. Setelah kedatangan Islam tradisi itu diubah dan garis panduan berpakaian menurut Islam diperkenalkan.


Imam al-Tabari
sendiri telah mentafsirkan firman Allah “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka” dengan menyatakan di dalam ayat di atas Allah s.w.t telah memerintahkan wanita mukminat supaya melabuhkan tudung kepala mereka sehingga menutupi belahan baju yang terbuka pada bahagian leher dan telinga dengan melabuhkan tudung kepala hingga ke paras dada. Ini menunjukkan cara berpakaian wanita sebelum kedatangan Islam adalah bertentangan dengan arahan Al-Quran itu. Maka terbukti bahawa hijab syarie adalah bukan dari pakaian tradisi Arab.

Kekeliruan - V

Ayat dari surah al-Ahzab 33:59 yang menyuruh para isteri Nabi saw, anak perempuan baginda dan para muslimat melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) (memakai jilbab) supaya dengan cara demikian lebih sesuai untuk mereka lebih dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu . Dari ayat ini dapat difahami bahwa :

“Jenis pakaian yang dipanggil jilbab ini yang dipakai oleh wanita bangsawan arab jahiliyah, menandakan mereka sebagai wanita terlindung yang mesti dihormati di khalayak ramai. Akhirnya pakaian ini dijadikan pakaian yang dianggap sopan di zaman nabi saw. surah al-Ahzab 33:59 memerintah kaum muslimat supaya memakai pakaian seperti ini. Dengan ini mereka akan dihormati dan tidak akan diganggu. Prinsip sejagat yang terdapat didalam ayat tersebut adalah sikap menghormati kaum wanita, bukannya pemakaian jilbab”


Ulasan dan jawapan

Matlamat yang dinyatakan oleh ayat ini adalah jelas iaitu supaya hijab itu menjadi benteng yang boleh menolak gangguan dan agar kaum wanita dihormati. Ia adalah kenyataan yang benar dan diterima. Bagaimanapun pengambilan hukum berdasarkan sebab adalah bertentangan dengan kaedah hukum syarak yang menetapkan pengambilan hukum adalah berdasarkan lafaz secara umum dan bukannya kerana sebab yang khusus. Ini kerana apabila “sebab” dijadikan dasar hukum maka seandainya matlamat pemakaian tudung untuk elak gangguan sudah berkesan kerana mereka yang bertudung sekarang ini sering diganggu dan tidak dihormati maka adakah muslimah itu perlu menanggalkan tudungnya pula atas alasan tudung tidak lagi berfungsi seperti dahulu?.


Kekeliruan - VI

Walaupun bertudung dan menutup caurat, wanita tetap tidak mampu dilindungi dari keganasan nafsu lelaki. Meskipun Kaum wanita telah diberitahu oleh Al-Quran bahawa suatu cara berpakaian yang tertentu akan melindungi mereka dari kejahatan. Namun hakikat sosial menunjukkan bahawa cara berpakaian tidaklah mampu melindungi kaum wanita dan kanak-kanak perempuan dari keganasan nafsu lelaki. Justru, pencabulan dan perogolan yang menjadikan wanita yang menutup aurat dan bertudung sebagai mangsa terus berlaku.

Ulasan dan jawapan
Memang benar terdapat wanita dan kanak-kanak perempuan yang bertudung dan menutup aurat telah menjadi mangsa rogol. Tetapi adakah kita sebagai masyarakat yang waras harus menidakkan bahawa golongan yang berpakaian seksi inilah yang merangsang nafsu penjenayah ini. Malang sekali apabila akal mereka tidak lagi dapat dikawal mereka akan melampiaskan nafsu mereka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira mangsa. Kesudahannya mereka yang tidak bersalah turut terlibat sama tidak kira warga tua atau kanak-kanak.Ia umpama membakar ladang, orang yang membakarnya tidak terkena api sebaliknya tumbuhan dan mereka yang berada dalam ladang itu yang menerima akibatnya. Di dalam hal ini juga, bukan wanita sahaja yang diperintahkan untuk menjaga kehormatan diri. Lelaki turut diberi tanggungjawab yang sama. Oleh kerana itu batasan aurat lelaki juga telah digariskan oleh Islam disamping mereka diarahkan untuk menjaga pandangan mata.


Kekeliruan - VII


Seorang Wanita Islam dari Malaysia telah memberi kenyataan dalam satu rancangan televisyen Channel 4 di United Kingdom yang bertajuk “Islam Unveiled”. Beliau menyatakan
:
“I cannot eccept the idea of women who are not covering their head will end up burning in hell”

Dan beliau menambah dengan menyatakan:
“ wanita kalau bertudung litup tapi tidak berdaya saing dan berdaya maju tiada gunanya”.

Ulasan dan jawapan

Bagi persoalan pertama ia telah telah dijawab dalam ulasan dan jawapan terhadap Kekeliruan -III.
Bagi penyataan yang kedua pula, hijab sama sekali tidak akan menyebabkan wanita itu mundur dan bersikap negatif. Ini terbukti pada zaman Rasullullah s.a.w dan Khulafa` al-Rashidin, wanita-wanita Islam menikmati zaman keemasan dan kegemilangan. Mereka begitu aktif membuat kerja-kerja kebajikan. Mereka menunaikan haji, wukuf di Arafah, melontar jamrah bersama-sama lelaki dan mereka juga berjihad bersama-sama tentera Islam ke medan perang sebagai pembantu tentera. Mereka bersembahyang jemaah di belakang saf lelaki .Wanita menimba ilmu pengetahuan dari kaum lelaki dan begitu juga sebaliknya .


Oleh: Hj.Ibnor Azli Ibrahim dan Norhayati Sharif Hassan, Jabatan Syariah, FPI, UKM
daripada "Beberapa Isu dan Kekeliruan Aurat Wanita : Satu Jawapan Ringkas"







3 ulasan:

Zuhairi berkata...

Salam.. Artikel ni sgt bagus dan sgt penting utk dibaca.

All the best.

AbuD berkata...

Ulasan yang penuh dengan fakta... (da sedia jadi Lawyer ker ?) :P

Aqeedah Mumtazah berkata...

Hehe InsyaAllah doakan sy agar berjaya ye...hehe